TAJUK: AMALAN GAYA HIDUP SIHAT, PENAWAR KEPADA KESIHATAN DIRI
- NURHAYATI BINTI OTHMAN
- Dec 8, 2016
- 4 min read
Kadar obesiti dalam kalangan rakyat di negara ini, terutamanya remaja dan kanak-kanak dikatakan semakin meningkat. Keadaan ini berkaitan dengan tahap kesihatan mereka yang semakin diabaikan. Jadi, riadah dan bersenamlah merupakan salah satu penyelesaiannya. Kesihatan dianggap perkara yang paling penting dalam kehidupan seseorang. Tahap kesihatan menentukan keadaan kehidupan yang dijalani oleh seseoorang itu. Semakin baik kesihatan seseorang itu semakin mudahlah mereka mengharungi kehidupan mereka. Malah, ada kajian yang mengaitkan kesihatan yang baik, memastikan produktiviti seseorang itu meningkat. Terdapat banyak kaedah yang boleh digunakan untuk memastikan kesihatan seseorang itu bertambah baik.
“Kesihatan ditentukan oleh pemakanan seseorang”. Itulah antara kata-kata hikmah yang sering kita dengar mengenai penjagaan kesihatan. Pengambilan makanan atau diet yang seimbang memastikan badan menerima khasiat yang diperlukannya. Diet yang betul sepanjang kehidupan seseorang itu menyebabkan kesihatannya terjamin. Cuma, kita agak sukar untuk mengamalkan perkara yang baik ini untuk jangka masa panjang kerana tahap kesihatan itu sukar diperoleh dalam masa yang pantas dan agak berbeza mengikut pandangan seseorang.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kajian menunjukkan satu daripada empat orang akan mengidap obesiti atau masalah kegemukan. Isu ini amat membimbngkan semua pihak. Jesturu itu, dengan bersenam dapat menghindarkan diri daripada menjadi mangsa obesiti. Walaupun golongan yang paling ramai ialah kanak-kanak berumur 7 hingga sepuluh tahun paling ramai mengidap obesiti, namun golongan remaja tidak terkecuali jika amalan gaya hidup sihat tidak dipraktikkan dalam kehidupan seharian.
Riadah yang dilakukan secara berkala adalah baik dan dapat menyihatkan badan. Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengadakan kempen kesedaran gaya hidup sihat yang turut menekankan kepentingan aktiviti riadah kepada semua golongan masyarakat, termasuk golongan remaja. Kesihatan bukan sahaja berkaitan dengan bebas daripada penyakit tetapi juga memiliki pemikiran yang cerdas bersama-sama emosi yang stabil. Kesihatan yang baik penting buat remaja kerana tahap kesihatan ketika usia mudalah yang akan menentukan tahap kesihatan mereka pada masa tua kelak.
Bukan sahaja diet penting tetapi penjagaan kebersihan turut berperanan besar untuk menghalang penularan penyakit. Penjagaan kesihatan bermula dengan diri sendiri mestilah bersih dan kawasan tempat tinggal juga, perlu dijaga tahap kebersihannya. Malah, kawasan sekeliling turut diberi perhatian untuk memastikan semuanya dalam keadaan bersih daripada penyakit berjangkit. Semua tindakan ini akan memastikan seseorang itu tidak diserang penyakit berjangkit seperti taun.
Selain itu, dengan menjaga kebersihan diri, keadaan mental anda akan lebih positif kerana kebersihan juga mempengaruhi mood dan psikologi kita. Apabila mood dan psikologi kita positif, ianya adalah satu tanda kesihatan mental yang baik. Oleh itu, anda perlu menjaga kebersihan diri kerana ianya memberi kesan dalam menjaga kesihatan anda samada jasmani atau pun mental.
Seterusnya, gaya hidup sihat juga adalah salah satu kepentingan menjaga kesihatan yang menjamin kestabilan kesihatan mental serta sentiasa mengawal ataupun mengurangkan tekanan. Sebagai contohnya, amalan berehat dan tidur dengan kadar yang mencukupi dapat mengurangkan tekanan dan menenangkan tubuh badan serta minda Selain itu, aktiviti luar harus dilakukan. Dengan bersikap lebih prihatin terhadap masa rehat dan masa tidur proses metabolism juga dapat dijalankan dengan lancar.
Berikutan dengan itu, gaya hidup sihat yang lain seperti pemikiran positif mampu memberi jalan penyelesaian bagi kemelut–kemelut yang serius tanpa mengadapi tekanan yang berlebihan. Senaman ringan dua atau tiga kali seminggu sudah mampu memberikan tahap kesihatan yang baik. Imunisasi seseorang turut meningkat melalui aktiviti senaman ini. Peluh yang keluar membuang sisa toksik yang tidak diperlukan oleh badan. Dalam masa yang sama senaman ini turut mengurangkan tekanan atau stres yang dialami oleh seseorang itu. Ini adalah kerana tekanan yang kita hadapi kadang kala boleh menjuruskan kepada masalah mental ataupun masalah sosial seperti pembuangan bayi, vandalisme dan sebagainya. Stres sering dikaitkan dengan kadar kematian yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat moden terutama di negara ini. Hal ini amat bahaya kepada golongan remaja yang rata-ratanya merupakan seorang pelajar. Kerana pelajar seringkali menghadapi tekanan dalam pelajaran atau masalah peribadi.
Kebaikan utama gaya hidup yang sihat ialah sentiasa memastikan tahap kesihatan berada dalam keadaan yang baik. Sebagai contohnya, gaya hidup sihat selalu memberi faedah kepada kecergasan fizikal. Misalnya , dengan melakukan aktiviti senaman secara kerap , kehidupan seseorang itu menjadi lebih sihat dan menceriakan.Senaman seperti bersukan, berekreasi, bersenam robik, berjalan dan berlari memastikan tubuh kita menjadi cergas dan sistem peredaran darah menjadi lebih teratur. Pada masa yang sama, sistem imunisasi manusia menjadi lebih cekap dan seterusnya stamina dan kekuatan dapat dibina. Selain daripada itu, amalan gaya hidup yang sihat juga menggurangkan risiko menghadapi penyakit berbahaya.
Sebagai contohnya, apabila kita sering melakukan senaman ataupun mengambil makanan dengan kadar nutrisi yang betul, maka kita dapat mengelakkan diri daripada pendedahan kepada penyakit berbahaya. Misalnya, penyakit seperti diabetes dan penyakit jantung sering mencari mangsa yang kurang mengamalkan amalan gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok dan makan makanan yang berkolestrol. Ini adalah salah satu faktor kepentingan menjaga kesihatan.
Kesimpulannya, terdapat banyak faktor penting dalam membincangkan kepentingan menjaga kesihatan. Menjaga kesihatan merupakan satu tindakan yang sepatutnya dilakukan oleh semua orang. Penjagaan kesihatan zaman ini juga dianggap menelan belanja yang banyak kerana kesihatan telah dijadikan sebagai satu kegiatan ekonomi. Seseorang itu perlulah bijak dalam menangani isu ini supaya tidak tertipu kerana tidak ada harta yang mampu membeli kesihatan yang baik. Harta yang penting dalam diri manusia ialah kesihatannya, bukannya wang ringgit. Kerana kita boleh hidup tanpa wang, tetapi tanpa kesihatan, nyawa kita akan melayang. Kita menjaga kesihatan bukan sekadar untuk sihat secara luaran dan dalaman, malah dengan menjaga kesihatan, kita sebenarnya memberi kesan kepada masyarakat, organisasi dan banyak lagi kerana kesihatan kita sangat mempengaruhi produktiviti kita. semua amalan yang positif ini perlu dilaksanakan oleh remaja. Kesihatan remaja yang mengamalkan semua amalan ini pasti baik kerana bukan sahaja tubuh mereka sihat tetapi emosi serta pemikiran mereka turut menerima impak positifnya. Aktiviti riadah amat wajar dipraktikkan dalam kehidupan kita untuk mengurangkan tekanan emosi yang dialami. Remaja yang sihat sebeginilah yang diperlukan oleh negara dalam mengharungi cabaran kehidupan moden kini.
Comments