top of page

PEMBUNUH TEKANAN

  • NURUL AQMA SYAQIRA BINTI SHAHIDAN
  • Dec 8, 2016
  • 4 min read

Masyarakat yang tertekan emosinya akan menunjukkan gejala seperti agresif, mudah memberontak, marah yang tidak dapat dikawal, kemurungan, penyakit mental dan membunuh diri. Dari perspektif Islam, remaja dianggap sudah cukup umur atau diistilahkan sebagai baligh. Pada peringkat remaja, golongan ini mengalami peralihan zaman, antara zaman kanak-kanak dengan zaman dewasa. Pada peringkat usia remaja, berlaku perubahan yang pesat sama ada perubahan biologi, fizikal, mental dan emosi serta perubahan tanggungjawab dan peranan. Untuk mengimbangi perubahan-perubahan ini, golongan remaja sering berhadapan dengan masalah dan konflik. Dengan sebab itu, berlakulah ketegangan dan tekanan emosi dalam diri remaja.


Bagi remaja yang bersedia dengan kehadiran masalah dan sanggup menerimanya dengan hati terbuka, mereka berjaya menerima perubahan-perubahan itu sekalipun kadang kala pahit baginya. Tetapi bagi sesetengah remaja pula, tidak berupaya menyesuaikan atau menerima dengan mudah perubahan tersebut, lalu menunjukkan gangguan psikologi pada dirinya. Keadaan ini boleh menimbulkan ketegangan dan tekanan kepada emosi remaja. Akibat dari tekanan yang dialami, remaja mungkin menunjukkan sikap yang agresif, mudah memberontak, marah yang tidak dapat dikawal, kemurungan dan terlibat dengan masalah sosial seperti merokok, lumba haram dan dadah bagi melepaskan rasa tertekan.


Mengenai faktor atau punca tekanan emosi pula, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan remaja mengalami tekanan emosi. Adnan al-Sharif (1987), menyatakan bahawa tekanan bukan sahaja wujud kerana dipengaruhi oleh gangguan mental dan emosi tetapi tekanan juga wujud apabila manusia merasa ketidaktenteraman jiwa atau jiwa yang berada dalam keadaan gelisah, keluh kesah, ketakutan, kecemasan dan was-was. Gangguan dan ketidaktenteraman jiwa itu pula, sama ada berpunca dari persekitaran luar mahu pun dalam diri manusia itu sendiri. Manakala, Kasmini Kassim (1992), Pakar Psikiatri Kanak-Kanak di Malaysia berpendapat bahawa, gangguan emosi yang sering berlaku di kalangan kanak-kanak dan remaja kebanyakannya disebabkan reaksi terhadap tekanan yang dialami oleh mereka.


Selain itu, Uthman Najati (1992: 67), pula menjelaskan bahawa manusia menghadapi gangguan dan ketidaktenteraman jiwa atau emosi apabila berlakunya konflik psikis atau pertembungan antara dua jiwa manusia iaitu jiwa yang beriman kepada Allah S.W.T dan jiwa yang menurut hawa nafsu. Keadaan jiwa manusia seperti ini dapat digambarkan dalam kisah anak Nabi Adam iaitu Qabil yang telah membunuh saudara kandungnya, Habil seperti terdapat dalam surah al-Maidah, 6: 27-30.


Dalam al-Quran juga terdapat ayat-ayat yang menceritakan tentang kisah-kisah manusia yang mengalami tekanan emosi dan faktor-faktor yang menyebabkan tekanan emosi. Contohnya dalam al-Quran ada menjelaskan bahawa manusia mengalami tekanan emosi adalah disebabkan faktor biologi atau fitrah kejadian manusia. Fitrah kejadian manusia yang terdiri daripada aktiviti sistem saraf dan unsur kimia boleh mempengaruhi perasaan, mental dan jasmani manusia. Dalam hal ini, Allah telah menjelaskan dalam firman-Nya dalam surah al-Anbiya’, 21: 37 dan surah al-Ma‘arij, 70: 19-22.


Dalam menjelaskan faktor yang menyebabkan tekanan emosi, Rohaty Majzub (1992), seorang pakar psikologi perkembangan remaja di Malaysia, menyatakan bahawa remaja mengalami tekanan emosi yang memuncak disebabkan perubahan fisiologi dan psikologi yang berlaku ke atas diri mereka. Perubahan yang pesat berhubung dengan kematangan seksual juga menyebabkan remaja tidak pasti tentang dirinya, keupayaan dan minatnya.


Selain itu, hasil kajian Kementerian Kesihatan mendapati pelajar di negara ini mengalami tahap stres yang tinggi. Dapatan itu diperoleh menerusi projek rintis Program Minda Sihat Menangani Stres Dalam Kalangan Murid sekolah bagi mengenal pasti tanda-tanda stres, keresahan dan kemurungan. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, daripada 6,540 orang murid yang telah disaring, 17.1 peratus daripadanya mengalami tanda-tanda keresahan yang teruk, 5.2 peratus kemurungan yang teruk dan 4.8 peratus stres yang teruk.


Perubahan ketika zaman remaja, menyebabkan jangkaan dan aspirasi masyarakat terhadap golongan ini semakin tinggi. Keadaan ini menyebabkan remaja merasa lebih tertekan emosinya apabila mereka cuba memenuhi aspirasi diri mereka, aspirasi ibu bapa dan aspirasi masyarakat. Jika remaja gagal mencapai aspirasi-aspirasi ini, remaja akan mengalami kekecewaan. Tekanan emosi boleh juga disebabkan oleh faktor luaran seperti faktor persekitaran. Hubungan antara persekitaran dengan tekanan ialah bagaimana persekitaran yang melingkungi remaja boleh menyebabkan mereka tertekan seperti persekitaran yang terlalu padat dengan penduduk, pembangunan yang terlalu pesat, suasana masyarakat yang kurang baik dan suasana yang bising.


Di samping itu, perbandaran yang terlalu pesat berlaku merupakan penyebab kepada tekanan. Peningkatan kos hidup dalam bandar menyebabkan individu berlumba-lumba meningkatkan pendapatan keluarga. Di samping itu, perbandaran juga menyebabkan individu banyak menghabiskan masa di jalan raya kerana kesesakan lalu lintas. Situasi ini memberi kesan kepada hubungan dalam keluarga terutama antara ibu bapa dan anak-anak. Ibu bapa tidak mempunyai masa yang banyak untuk berinteraksi dengan anak-anak, menyediakan masakan, bermain, mendidik dan berbual-bual dengan anak-anak. Keadaan begini menyebabkan anak-anak rasa terpinggir, kecewa dan tidak dipedulikan. Sekiranya ia berlarutan dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan tekanan emosi kepada anak-anak remaja.


Kajian Donna Mates dan Kenneth R. Allison (1992), mendapati antara faktor akademik yang menyebabkan tekanan emosi remaja ialah tahap pencapaian akademik, persaingan untuk memasuki universiti, menyelesaikan tugasan atau tugasan yang terlalu banyak, guru yang terlalu tegas, jangkaan dan harapan guru yang terlalu tinggi terhadap pelajar dan sikap guru yang prejudis serta tidak meraikan remaja sebagai seorang dewasa. Personaliti yang dimiliki oleh seseorang turut boleh menjadi punca kepada tekanan emosi. Personaliti merujuk kepada ciri-ciri keperibadian yang dimiliki oleh seseorang. Misalnya, penghargaan kendiri, perasaan dan paras kebimbangan.


Manakala, menurut Encylopedia Dictionary of Psychology (1992), personaliti ialah satu konsep yang global yang mempunyai beberapa makna. Pertama, ia merujuk kepada tingkah laku dan perangai yang biasanya ada pada setiap individu. Kedua, ia merujuk kepada cantuman kesedaran diri atau ego. Ketiga, ia adalah topeng bagi sosial. Manakala menurut Uthman Najati (1993) pula, personaliti bermaksud perangai atau tingkah laku seseorang hasil daripada faktor luaran dan faktor dalaman yang dipupuk dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah S.W.T. Faktor luaran seperti kejayaan yang diperolehi, semangat, pujian dan sebagainya. Faktor dalaman pula, ialah perasaan cinta kepada Allah, bertakwa, sabar dan segala sifat baik. Hasil daripada gabungan ini akan mewujudkan seorang muslim yang berpersonaliti berpandukan al-Quran dan mampu menghadapi dugaan hidup. Dari perspektif Islam, personaliti lebih dikenali dengan sahsiah atau secara umumnya disebut sebagai akhlak.


Selain itu, tekanan emosi tidak boleh diselesaikan dengan langkah ad hoc. Ia memerlukan satu strategi dakwah yang berhikmah, terancang dan tersusun. Ini kerana tekanan emosi wujud dari dalam diri remaja dari segi jiwa yang tidak tenteram kerana keadaan keluarga yang tidak stabil dan harmoni, kebosanan dengan kehidupan harian dalam dunia akademik, persekitaran yang tidak selesa dan kurang bimbingan, sokongan serta kumpulan contoh dalam menuju ke arah remaja yang cemerlang.


Oleh itu, satu program tekanan emosi yang bersepadu perlu dirancang untuk menangani tekanan emosi remaja. Program ini perlu melibatkan ibu bapa, organisasi penceramah, pihak sekolah, pemimpin remaja, pembuat dasar, pertubuhan bukan kerajaan dan agensi-agensi kerajaan. Perlaksanaan penceramah yang ingin dibuat perlu mengambil kira soal kesesuaian sasaran dakwah iaitu remaja serta kesesuaian dengan fungsi dan peranan organisasi yang diwakili.








Comments


Meet the Ninja parents 

We are Samantha and Ray...

Featured Posts
Check back soon
Once posts are published, you’ll see them here.
Recent Posts
Search By Tags
Our Community 

Supermommy

King of Dads

Babyville

Krafty Kids

  • Google+ - Black Circle
  • Facebook Black Round
  • Twitter Black Round

© 2023 by Parenting Blog

Proudly created with Wix.com

500 Terry Francois St. San Francisco, CA 94158

info@mysite.com

Tel: 123-456-7890

Fax: 123-456-7890

bottom of page