MAKANAN SEIMBANG DAPAT MENJAMIN KESIHATAN.
- Mohammad Ezzar Shah Bin Hamsari
- Dec 8, 2016
- 4 min read
Kesihatan diri merupakan harta yang paling berharga namun ramai golongan remaja yang tidak menyedarinya sehingga mereka ditimpa sesuatu penyakit yang kronik. Ramai juga yang tidak menyedari pengambilan makanan yang berkhasiat dapat memainkan peranan yang mendalam bagi memastikan kesihatan yang berkualiti. Punca utama serangan penyakit-penyakit kronik seperti kanser dan penyakit jantung ialah kerana tidak memakan makanan yang sempurna dan kurang memakan makanan yang berkhasiat serta kurang bersenam. Corak pengambilan makanan yang teratur sepatutnya dimulakan sejak awal lagi. Satu pepatah mengatakan,“ Diri Anda Ialah Apa Yang Anda Makan ” dan kenyataan ini benar dalam soal kesihatan.
Makanan seimbang ialah pengambilan makanan yang cukup untuk keperluan tubuh badan. Manusia memerlukan makanan dan vitamin untuk pembesaran dan menjaga kesihatan. Media massa turut mempopularkan pemakanan seimbang menerusi pelbagai program dan penulisan artikel mengenai pemakanan yang sihat ini. Oleh itu, wujud pelbagai kebaikan daripada makanan seimbang ini. Sebagai contoh, pembesaran manusia itu lebih sempurna daripada aspek fizikal. Tubuh badan menerima semua keperluan zat yang diperlukan untuk membina tubuh badan yang kuat daripada keperluan fizikal manusia. Keupayaan fizikal yang ketara ini menjadikan seseorang manusia boleh menjalankan tugasnya dengan begitu baik dan sempurna. Jelaslah, pemakanan seimbang menjadikan fizikal manusia itu lebih baik berbanding manusia lain yang kurang menjaga aspek pemakanannya.
Seterusnya, memberikan vitamin yang cukup kepada badan. Keperluan vitamin yang cukup ini menjadikan tubuh manusia itu lebih tahan untuk menghadapi sebarang jangkitan penyakit atau tidak mudah untuk jatuh sakit. Kesihatan manusia dikatakan perkara yang paling penting dalam kehidupan seseorang itu. Sesungguhnya, manusia yang mengamalkan pemakanan seimbang akan mempunyai kesihatan yang sihat sejahtera sahaja. Selain vitamin, zat-zat lain juga perlu ada di dalam badan agar setiap bahagian yang memerlukan zat seperti zat besi dan sebagainya.
Selain itu, mampu mengawal kadar obesiti. Salah satu aspek utama dalam pemakanan seimbang ialah manusia perlulah mengambil makanan dalam kuantiti yang kecil tetapi cukup khasiat yang diperlukan oleh badan. Pengawalan pemakanan sebegini menjadikan tubuh seseorang itu tidak terlalu gemuk dan memudahkan mereka untuk menjalankan pelbagai aktiviti terutama aktiviti senaman yang mampu menyihatkan badan pula. Oleh itu, obesiti mampu diatasi jika seseorang itu mempunyai diet pemakanan seimbang dalam hidupnya. Obesiti ini merupakan penyakit yang dicatatkan paling tertinggi di Malaysia terutama dalam kalangan remaja yang kurang menitikkan beratkan soal makanan.
Menurut Jabatan Kesihatan, Malaysia turut mengalami peningkatan masalah kesihatan berkaitan cara hidup, pemakanan dan persekitaran seperti penyakit kardiovaskular, kanser, kencing manis, darah tinggi dan lain-lain4. Menurut Tinjauan Kesihatan Kebangsaan ke 3, prevalens kencing manis dan darah tinggi (dalam kalangan orang dewasa berumur 30 tahun ke atas) masing-masing adalah 14.6% dan 46.2% pada tahun 2006. Prevalens merokok dalam kalangan dewasa adalah 25.5%, obes sebanyak 14.0% dan mereka yang tidak aktif secara fizikal sebanyak 43.7%. Rakyat perlu diberi kesedaran dan mengubah gaya hidup agar menjadi lebih aktif supaya penyakit sedemikian boleh dicegah dan dikawal. Rakyat perlu sedar bahawa kesihatan adalah tanggungjawab bersama dan individu, keluarga dan masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing dalam menjamin kesihatan masyarakat di Malaysia. Di Malaysia juga telah dikatakan sebagai negara Malysia adalah negara orang gemok. Antara punca obesiti adalah Terlalu banyak pengambilann makanan berlemak dan berkolesterol. Sebagai contoh, makanan seperti daging telur dan hasil tenusu seperti mentega dan keju merupakan sumber protein, vitamin dan galian yang baik tetapi ia juga mengandungi banyak lemak dan kolesterol. Lemak boleh menyebabkan kegemukan, mendorong serangan jantung dan meningkatkan risiko serangan kanser sementara kolesterol menjadi punca utama sakit jantung. Makanan berproses dan snek seperti kentang goreng dan kerepek juga mengandungi banyak lemak dan kolesterol begitu juga dengan makanan jualan penjaja. Ini juga menjadi salah satu punca kegemukan yang melampau.
Seterusnya, perkembangan mental seseorang itu tidak akan terganggu.Kekurangan zat makanan yang tertentu boleh menjadikan mental seseorang itu tidak cukup cerdas atau mudah letih apabila cuba menyelesaikan sesuatu perkara yang dialami dalam kehidupan seseorang itu. Keadaan ini menjadikan seseorang itu gagal berfikir untuk menyelesaikan masalahnya dengan lebih efektif berbanding dengan individu yang seimbang aspek pemakanannya. Jadi, pemakanan seimbang menjadikan aspek mental manusia lebih stabil dan berdaya tahan.
Oleh itu, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyediakan satu gambaran rajah yang berbentuk piramid bagi tujuan rujukan masyarakat. Ini merupakan salah satu cara memberi tahu masyarakat terutama golongan remaja yang kurang mengambil endah tidak endah terhadap pemakanan seimbang. Makanan yang boleh diambil dengan kuantiti yang banyak berada dibawah sekali di dalam piramid dan yang berada di atas sekali merupakan makanan yang harus dikurangkan agar kesihatan seseorng itu terjamin. Ia juga makanan yang tidak baik diambil berlebihan dan mempunyai kesan sampingan sekiranya masyarakat mengambil secara berlebihan.
Di dalam kajian seorang Pakar Pemakanan dari Amerika Syarikat, Frances M Lappe berkata rakyat di negaranya mempunyai diet yang tidak menyihatkan. Dalam bukunya Diet for a Small Planet beliau berkata penduduk negara itu memakan terlalu banyak daging, lemak, gula, alkohol, bahan penambah tetapi kurang memakan makanan berserat. Oleh itu, pada dasarnya makanan berserat ini seharusnya diambil kerana tanpa pengambilan makanan berserat ini akan memberi kesan terhadap penghadaman makanan yang akan mengambil masa yang lebih lama iaitu antara 70 - 80 jam untuk ke saluran penghadaman. Dengan itu, dengan mengurangkan masa yang diambil makanan untuk melalui saluran itu dapat melindungi daripada serangan kanser usus besar dan rektum dengan mencairkan bahan beracun yang terdapat di dalam usus besar dan mempercepatkan pengeluarannya dari tubuh.
Menurut islam, makanan yang baik dimakan atau makanan sunnah Nabi Muhammad a.s. dan boleh diamalkan adalah susu kambing, kurma, kismis, madu, dan sebagainya. Setiap makanan ini mempunyai zat tersendiri dan kelebihan tersendiri tanpa menambah perasa lain. Sebagai contoh, pengambilan kismis yang kerap dapat menghasilkan satu zat bagi merangsang sel-sel otak yang kurang cergas menjadi lebih baik. Ini juga telah diamalkan agar mudah untuk menghafal dan terang hati untuk menerima apa yang dipelajari.
Kesimpulannya, golongan remaja seharusnya menitik beratkan tentang pengambilan makanan agar dapat mencegah pelbagai penyakit. Bak kata pepatah “Mencegah lebih baik dari Diubati”. Bukan golongan remaja sahaja yang perlu menitikberatkan namun golongan masyarakat juga harus menitikberatkan mengenai pengambilan makanan dan ia akan memberi kesan baik terhadap ekonomi, politik dan sosial dalam negara justeru semua rakyat bebas daripada penyakit. Sekiranya sesetengah masyarakat masih ingkar dan tidak mahu berubah ini akan memberi kesan terhadap jumlah pesakit yang mengalami penyakit kronik di negara ini akan bertambah. Ketika itu mungkin sudah terlewat untuk kita semua mengambil langkah pencegahannya. Oleh itu, golongan remaja harus sentiasa membuat pilihan yang bijak agar dapat memperolehi kesihatan yang ideal serta sihat. Selain itu juga, sentiasa mengamalkan senaman agar segala toksik-toksik dalam badan dapat dikeluarkan. Ini dapat memberi kesan terhadap diri sendiri dan dapat mengelakkan diri dari penyakit yang kronik.


Comments